Johor Mendahului Jumlah Pusat Data Terbanyak Di Malaysia, Diikuti Cyberjaya Dan KL
Ledakan pusat data menimbulkan rasa bimbang kerana ia memerlukan tenaga dan bekalan air yang banyak, bersamaan bekalan untuk 750,000 buah rumah.
- Johor mencatat jumlah pusat data terbanyak di Malaysia dengan 41 buah, diikuti Cyberjaya (30) dan Kuala Lumpur (23).
- Malaysia meluluskan 143 projek pusat data baharu, dengan pelaburan dijangka mencecah RM577 bilion dalam lima tahun akan datang.
- Pertumbuhan pusat data menimbulkan kebimbangan siber dan alam sekitar, termasuk penggunaan tenaga elektrik serta air yang tinggi.
Jangan lupa follow channel VoxPopbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Johor kini terkenal sebagai negeri peneraju teknologi apabila sebanyak 41 pusat data direkodkan di negeri itu, menjadikannya paling banyak di Malaysia.
Cyberjaya berada di nombor 2 dengan jumlah sebanyak 30 dan Kuala Lumpur sebanyak 23, daripada keseluruhan 113 pusat data yang beroperasi di negara ini, menurut Ekonomi Rakyat.
Selebihnya tersebar di beberapa lokasi lain termasuk Shah Alam, Selangor, Kuching dan Bayan Baru.
143 Projek Pusat Data Bakal Dibina Di Malaysia

Jumlah pusat data di negara dijangka terus berkembang berdasarkan laporan dari Ekonomi Rakyat, pihak Kerajaan telah meluluskan 143 projek pusat data dengan Johor bakal menyumbang kira-kira 60% kapasiti pemprosesan data negara menjelang 2030.
Nilai pelaburan pusat data di Malaysia pula melonjak empat kali ganda kepada anggaran RM577 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang, diketuai syarikat terkemuka seperti AWS, Google dan Microsoft.
Selain itu, Alibaba Cloud turut melancarkan dua lagi pusat data baharu di Johor untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai infrastruktur terbesar di Asia Tenggara.
Tetapi Adakah Kita Sudah Bersedia Jika Berlakunya Serangan Siber?

Pertumbuhan pesat pusat data ibarat cendawan selepas hujan turut menimbulkan persoalan mengenai perlindungan siber negara.
Menurut laporan Ekonomi Rakyat, Malaysia mencatat kadar penembusan Internet tertinggi di rantau ini pada 97%, mengatasi Singapura, sekali gus berisiko tinggi untuk sebarang serangan siber.
Positive Technologies meletakkan Malaysia di tangga keenam di Asia Tenggara bagi serangan siber, merangkumi 10 peratus daripada jumlah rantau ini.
Syarikat keselamatan siber Belanda, Surfshark pula melaporkan purata 152 akaun digodam bagi setiap 100 orang di Malaysia, jauh lebih tinggi berbanding purata serantau 55 bagi setiap 100 individu.
Pengarah Serantau Asia Tenggara Positive Technologies, Elena Grishaeva berkata pembinaan pusat data baharu menjadikan infrastruktur semakin sukar dilindungi, lalu meminta syarikat untuk menyediakan perlindungan sebenar dan bukannya hanya pada kertas.
“Para penggodam menggunakan data yang bocor dari web hitam untuk mencipta serangan yang sangat berkesan,” katanya kepada Ekonomi Rakyat.
Elena turut menyifatkan jurang bakat tempatan dalam bidang keselamatan siber sebagai cabaran utama negara untuk menyediakan perlindungan kukuh.
Kesan Membina Pusat Data Terhadap Tenaga Dan Air

Di sebalik ledakan pembinaan pusat data, timbul kebimbangan kerana ia memerlukan tenaga elektrik dan air yang sangat banyak untuk beroperasi.
Pusat data menjana haba yang tinggi, lalu memerlukan sistem penyejukan yang menggunakan sama ada lebih banyak elektrik atau ribuan liter air.
Menurut laporan dari Astro Awani, dari segi tenaga, kapasiti yang dirancang bagi kemudahan ini ialah 1.6 gigawatt (GW) dan menurut Kenanga Investment Bank Research, permintaan elektrik daripada pusat data dijangka bakal mencecah 5 GW menjelang 2035, berbanding kapasiti pemasangan semasa Tenaga Nasional yang sekitar 27 GW.
Faktor penggunaan tenaga dan air ini turut menyebabkan Singapura mula mengurangkan pembinaan pusat datanya.
Dari segi air pula, Universiti California, Riverside mendapati satu e-mel sepanjang 100 patah perkataan yang ditulis chatbot AI menggunakan sebanyak 519 mililiter air.
Beberapa bulan lalu ketika Aidilfitri, Kulai Johor menjadi rumah kepada beberapa pusat data mengalami bekalan kekurangan air.

Penyelidik Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (ISIS), Zayana Zaikariah berkata rizab air Johor yang sekitar 11.5 peratus berdasarkan angka 2022 masih mencukupi buat masa ini.
Pihak berkuasa negeri turut merancang menambah rizab itu sebanyak 25% menjelang 2029.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago menggesa kerajaan mewajibkan kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi pusat data, selain penuaian air hujan dan kitar semula air sisa.
Malah, banyak sasaran hijau gergasi teknologi masih belum dicapai dan pelepasan karbon Google meningkat 48 peratus tahun lalu, manakala Microsoft meningkat 30 peratus sejak 2020, berikutan pembinaan pusat data masing-masing.
Baca Artikel Berkaitan: “Hilang Selera Tengok” – Restoran Guna Gambar Menu Janaan AI Raih Pelbagai Reaksi | VoxPop
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Cipta Gambaran Masuk Pintu Syurga Guna AI? | VoxPop
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial VoxPopbm , , Threads dan .



