Linen Sesuai Untuk Cuaca Panas, Tetapi Bagaimana Nak Bezakan Kualitinya?
Sifat linen yang sejuk membuatkannya sangat popular di negara beriklim panas.
- Linen tulen mudah berkedut, mempunyai slub, berat yang betul dan warna sekata untuk membezakannya daripada linen murah.
- Linen sesuai untuk cuaca panas kerana menyejukkan badan, tidak melekat pada kulit dan menyerap kelembapan dengan baik.
Jangan lupa follow channel VoxPopbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Linen merupakan antara fabrik semula jadi tertua di dunia.
Dihargai sejak beratus tahun kerana cirinya yang tahan lasak dan selesa, fabrik ini dikatakan telah dihasilkan oleh manusia Neolitik di Eropah sejak 36,000 tahun lalu.
Di negara beriklim panas seperti Malaysia, linen sentiasa menjadi pilihan ramai kerana sifatnya yang menyejukkan badan. Namun, tidak semua linen adalah sama dan ramai sering keliru membezakan yang berkualiti tinggi daripada murah atau campuran.
Kain Linen Dihasilkan Daripada Pokok Flax Dalam Tempoh 100 Hari

Untuk pengetahuan umum, linen diperbuat daripada gentian pokok flax dan untuk menjadikannya sebagai kain, prosesnya mengambil masa sekurang-kurangnya 100 hari.
Ia bermula apabila pokok flax berbunga dan bijinya matang, itulah tandanya gentian sudah cukup matang untuk diproses.
Gentian itu kemudian dikeluarkan daripada batang pokok dan diproses menjadi benang, sebelum ditenun menjadi kain. Menariknya, hampir kesemua bahagian pokok flax boleh digunakan, daripada biji benih sehingga minyak.
Tambahan pula, linen juga hipoalergenik dan antibakteria membuatkannya sesuai untuk individu yang mempunyai kulit sensitif atau masalah alahan.
Ini 5 Cara Untuk Membezakan Linen Berkualiti Dan Linen Murah
Berikut enam tanda utama untuk mengenal pasti linen tulen berkualiti tinggi:
#1. Berat kain
Berat linen diukur dalam gram per meter persegi (gsm), iaitu ringan (90 hingga 130 gsm), sederhana (140 hingga 190 gsm) dan berat (200 hingga 300 gsm).
Jika linen yang dibeli terasa jauh lebih ringan daripada sepatutnya, kemungkinan ia bukan 100 peratus linen.
#2. Kedutan
Linen tulen secara semula jadi mudah berkedut dan jika fabrik itu tidak berkedut langsung, ada kemungkinan ia dicampuri dengan bahan lain atau bukan linen sama sekali.
#3. Slub
Slub ialah ketulan kecil atau ketidakseragaman pada tenunan dan dulu ia dianggap sebagai kecacatan pada kain, tetapi hari ini ia dianggap sebagai keunikan linen.
Malah kadangkala ia sengaja ditenun untuk memberikan rupa sedemikian.
#4. Warna
Linen berkualiti tinggi mempunyai warna yang sekata dan jelas, tanpa tanda luntur atau pudar.
Warna semula jadinya mungkin berbeza bergantung kepada musim dan jenis tanah.
#5. Kekuatan
Gentian linen yang tebal mampu menahan basuhan serta penggunaan yang kerap.
Jika linen cepat pudar atau rosak hanya selepas beberapa kali digunakan, kemungkinan ia bukan linen berkualiti tinggi.
Sifat Menyejukkan Menjadi Faktor Utama Kenapa Linen Sesuai Dipakai Pada Musim Panas

Linen terkenal dengan sifatnya yang menyejukkan badan dan fabrik ini memudahkan pengaliran udara antara kain dan badan untuk memberikan kesan sejuk ketika cuaca panas.
Selain itu, teksturnya juga tidak akan melekat pada kulit membuatkan kita tidak terasa lembap ataupun berpeluh.
Linen juga berupaya untuk mengeluarkan haba badan dengan berkesan, dengan keupayaannya dianggarkan 18 kali lebih tinggi berbanding kain sutera dan fabrik ini pun boleh menghalang sinaran ultraungu (UV), terutamanya warna putih lebih berkesan memantulkan cahaya.
Bukan itu sahaja, kain linen sangat mudah menyerap kelembapan dan mampu menyerap sehingga 20% daripada beratnya sebelum terasa lembap.
Linen Dari Lithuania Dianggap Antara Yang Terbaik Di Dunia

Linen yang dihasilkan dari benua Eropah sering dianggap antara yang terbaik di dunia berikutan tradisi pembuatannya serta keadaan iklim serta tanah yang tiada di tempat lain.
Di Lithuania contohnya, iklim lembap dan tanah kaya dengan mineral mampu menghasilkan gentian flax yang panjang dan kuat dengan pokoknya boleh mencapai ketinggian sehingga tiga kaki.
Negara itu juga dikatakan telah menghasilkan linen seawal abad ke-2 dan pokok yang ditanam di sana dipercayai tiga kali lebih tinggi berbanding kebanyakan negara lain, menjadikannya lebih kuat dan tahan lama.
Baca Artikel Berkaitan: T-Shirt Selalu Buat Anda Nampak Selekeh? Ini Mungkin Sebabnya | VoxPop
Baca Artikel Berkaitan: AIRism: Satu Layer Untuk Lawan Panas & Aircond Ekstrem [Review] | VoxPop
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial VoxPopbm , , Threads dan .



