VoxPop
Now Reading
M Nasir Fail Saman RM5 Juta Terhadap MyTeksi, Dakwa Guna Nama Untuk Promosi Produk Tanpa Kebenaran

M Nasir Fail Saman RM5 Juta Terhadap MyTeksi, Dakwa Guna Nama Untuk Promosi Produk Tanpa Kebenaran

Defendan didakwa mempromosikan produk minuman sebagai “Kegemaran M. Nasir” menerusi hantaran di akaun Instagram rasminya.

In Brief
  • Datuk M. Nasir dan Luncai Emas memfailkan saman RM5 juta terhadap MyTeksi kerana mendakwa menggunakan nama artis tanpa kebenaran.
  • MyTeksi didakwa mempromosikan produk kopi di Instagram sebagai "Kegemaran M. Nasir" tanpa penafian atau persetujuan daripada artis berkenaan.
  • Plaintif memohon ganti rugi RM5 juta, perintah injunksi, serta pendedahan akaun keuntungan daripada promosi berkenaan.

Jangan lupa follow channel  VoxPopbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Ikon muzik negara, Datuk M. Nasir dan syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd, memfailkan saman terhadap MyTeksi Sdn Bhd atas dakwaan menggunakan nama dan jenama artis itu tanpa kebenaran bagi tujuan promosi pemasaran di platformnya.

Saman itu difailkan oleh M. Nasir bersama Luncai Emas menerusi firma undang-undang Zulpadli & Edham di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 April lalu, yang menamakan MyTeksi sebagai defendan.

Pengurusan kes ditetapkan pada 28 Jun menerusi e-Review di hadapan Timbalan Pendaftar S. Malarselvi.

Defendan Didakwa Guna Nama M. Nasir Untuk Promosi Produk Kopi

Berdasarkan writ saman dan kenyataan yang dilaporkan media, pihak plaintif mendakwa bahawa defendan menggunakan nama dan jenama ‘M. Nasir’ bagi mempromosikan produk minuman kopi.

Produk itu dipromosikan sebagai “Kegemaran M. Nasir” menerusi hantaran di akaun Instagram rasmi defendan tanpa kebenaran.

Menurut plaintif, defendan pada 23 April 2025 telah memuat naik satu hantaran iklan menerusi akaun Instagram @grabmy dan @grabfoodmy yang memaparkan cawan dan tin kopi dengan label ‘GrabFood’ dan ‘GrabMart’ untuk mempromosikan produk atau servis yang ditawarkan menerusi platform syarikat berkenaan.

“Selain iklan tersebut, kapsyen yang digunakan adalah ‘Kopi-kopi kegemaran M Nasir’, diikuti dengan frasa ‘Dua-dua pun Grab ada’, yang secara langsung merujuk kepada M. Nasir dan mewujudkan tanggapan seolah-olah produk atau servis itu mempunyai kaitan dengannya,” tertulis pada kenyataan tuntutan.

Iklan Didakwa Tiada Penafian Atau Penjelasan Bahawa Nama ‘M. Nasir’ Bukan Merujuk Kepada Plaintif

Plaintif mendakwa penggunaan nama dan jenama “M. Nasir” tanpa persetujuan telah menyebabkan salah faham dan kebingungan dalam kalangan masyarakat umum, sekali gus memberi kesan kepada nama baik dan reputasi penyanyi itu.

Tambah pihak plaintif lagi, iklan tersebut tidak disertakan dengan sebarang penafian atau penjelasan yang menyatakan rujukan kepada “M. Nasir” tidak bertujuan untuk merujuk kepada artis itu, mahupun bahawa dia tidak mempunyai sebarang penglibatan sama sekali dengan defendan atau produk dan servis yang ditawarkan.

Menurut plaintif, penggunaan nama M. Nasir dalam konteks komersial jelas bertujuan untuk menggunakan reputasi dan nilai komersialnya, yang bertujuan untuk mempromosikan produk dan servis defendan tanpa pengetahuan atau persetujuan.

Plaintif Mohon Ganti Rugi RM5 Juta & Perintah Injuksi Terhadap Defendan

Dalam pada itu, plaintif membuat tuntutan bagi ganti rugi umum, ganti rugi teladan berjumlah RM3 juta, ganti rugi teruk sebanyak RM2 juta, serta faedah dan kos.

Plaintif juga memohon perintah injuksi untuk menghalang defendan, ejen dan kakitangannya daripada terus menggunakan nama dan jenama ‘M. Nasir’ bagi tujuan komersial.

Mereka turut memohon perintah yang memerlukan defendan untuk mendedahkan akaun keuntungan yang diterima daripada penjualan minuman yang dipromosikan sebagai “Kegemaran M. Nasir” itu.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial VoxPopbm , , Threads dan . 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 VoxPop. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd