Penyakit Kusta Belum Lenyap Di Malaysia, Lapan Kes Baharu Dikesan Di Kelantan Tahun Lepas
Gejala awal penyakit kusta seperti muncul tompok merah atau putih pada kulit disertai kehilangan deria rasa.
- Lapan kes baharu kusta direkodkan di Kelantan tahun lepas, dengan 381 kes baharu dilaporkan di peringkat nasional pada 2025.
- Stigma masyarakat terhadap pesakit kusta masih tinggi, namun penyakit ini boleh disembuhkan sepenuhnya dengan rawatan yang konsisten.
Jangan lupa follow channel VoxPopbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Penyakit kusta sering dianggap penyakit lama yang telah lenyap, namun ia masih wujud di negara sehingga kini.
Menurut laporan dari BERNAMA, Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob memaklumkan sebanyak lapan kes baharu kusta telah direkodkan di Kelantan pada tahun lepas, dengan kadar insiden 0.37 kes bagi setiap 100,000 penduduk.
Manakala, di peringkat nasional pula, sebanyak 381 kes baharu dilaporkan pada 2025 dan 516 pesakit masih menerima rawatan di Malaysia tahun lepas.
Baca Artikel Berkaitan: Jangan Ambil Mudah Bila Sentuh Makanan Laut Mentah, Kajian Ini Jelaskan Sebabnya | VoxPop
Stigma Masyarakat Terhadap Penyakit Kusta Masih Tinggi

Dr Mohd Azman turut berkata kadar prevalens di Kelantan ialah 0.06 bagi setiap 10,000 penduduk, lebih rendah daripada sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menetapkan kadar kurang daripada satu kes bagi setiap 10,000 penduduk.
Tambahan pula, Dr Mohd Azman berkata tema Hari Kusta Sedunia tahun ini, “Kusta Boleh Disembuhkan, Cabaran Sebenar Adalah Menangani Stigma,” bertujuan meningkat kesedaran bahawa pesakit kusta tidak wajar disisihkan.
“Penyakit ini bukan berpunca daripada santau, keturunan atau balasan atas perbuatan tertentu,” kata Dr Mohd Azman dalam satu kenyataan bersempena Sambutan Hari Kusta Sedunia Peringkat Negeri Kelantan 2026 di Tumpat.
Beliau turut menegaskan penyakit kusta sebenarnya boleh disembuhkan sepenuhnya jika pesakit mendapatkan rawatan secara konsisten.
Apakah Yang Dikenali Sebagai Penyakit Kusta
Menurut laporan dari UPM, Penyakit kusta atau Hansen’s Disease ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Mycobacterium leprae yang boleh menjangkit dan menjejaskan kulit, saraf, mata serta bahagian dalam hidung.
Walaupun digeruni ramai, pesakit masih mampu bekerja serta menjalani aktiviti seharian seperti biasa, terutamanya jika penyakit dikesan pada peringkat awal.
Antara gejala awal penyakit ini ialah tompok kemerahan atau putih pada kulit yang tidak gatal dan disertai kehilangan deria rasa.
Gejala lain termasuk benjolan yang tidak sakit pada muka atau cuping telinga, keguguran bulu kening, kebas serta kelemahan otot.
Jika dibiarkan tanpa rawatan, penyakit kusta boleh menyebabkan kerosakan saraf, kelumpuhan, masalah penglihatan sehingga buta, serta kecacatan tangan dan kaki.
Tiga Jenis Penyakit Kusta

Untuk pengetahuan umum, terdapat tiga jenis penyakit kusta berdasarkan tahap jangkitan seperti berikut:
#1. Tuberculoid
Jenis kurang serius dan biasanya berada pada tahap awal jangkitan. Pesakit akan mengalami beberapa tompok pada kulit dan terasa kebas kerana sarafnya telah terjejas.
Selain itu, jenis ini juga susah untuk menjangkiti orang lain.
#2. Lepromatous
Keadaan ini lebih serius dan melibatkan tompok serta benjolan pada keseluruhan kulit. Bahagian hidung turut terjejas dan lebih mudah untuk menjangkiti orang sekeliling.
#3. Borderline
Jangkitan paling teruk dan pesakit jenis ini mempunyai kombinasi simptom kedua-dua jenis di atas.
Cara Mencegah Serta Mengurangkan Penularan Penyakit Kusta
Penyakit kusta boleh merebak melalui hubungan rapat dengan pesakit yang belum menerima rawatan apabila bakteria masuk ke dalam badan menerusi saluran pernafasan atau kulit.
Namun, sebenarnya penyakit ini tidaklah mudah berjangkit.
Tetapi, terdapat beberapa faktor boleh meningkatkan risiko penularan seperti:
- Jika anda tinggal berdekatan dengan pesakit yang tidak menerima sebarang rawatan
- kekurangan zat makanan serta sistem imun yang lemah
- Kanak-kanak lebih mudah terdedah berbanding orang dewasa
Justeru itu, Dr Mohd Azman menekankan pentingnya pencegahan awal dengan mengesan simptom awal, pemeriksaan puncanya dan rawatan segera bagi mencegah penularan dalam komuniti, memandangkan ahli keluarga dan kenalan rapat pesakit merupakan golongan berisiko tinggi.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) turut melaksanakan pemberian Single Dose Rifampicin (SDR) kepada kenalan rapat yang boleh mengurangkan risiko jangkitan.
Selain itu, jika anda menghadapi penyakit kusta, rawatan akan dijalankan menerusi kombinasi antibiotik yang dikenali sebagai multidrug therapy selama enam hingga 12 bulan bagi kusta paucibacillary (jangkitan awal), dan sehingga 24 bulan bagi kusta multibacillary (jangkitan lebih teruk).
Pesakit biasanya boleh pulih sepenuhnya jika mematuhi nasihat doktor dan tidak terlepas mengambil ubat. Dengan pengesanan awal dan rawatan konsisten, penyakit kusta bukan lagi penyakit yang perlu ditakuti atau menjadi sebab penghidapnya disisihkan oleh masyarakat.
Baca Artikel Berkaitan: Kadar Kematian Antara 30 Hingga 40 Peratus, Ini Perkara Yang Perlu Anda Tahu Tentang Hantavirus | VoxPop
Baca Artikel Berkaitan: Kerap Demam ‘On-Off’? Hati-Hati, Boleh Jadi Simptom Awal Kanser
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial VoxPopbm , , Threads dan .



