VoxPop
Now Reading
PROTON Umum e.MAS 7 Premium Plus Baharu, Tawar Jarak “Full Charge” Sehingga 450km Pada Harga RM118,800

PROTON Umum e.MAS 7 Premium Plus Baharu, Tawar Jarak “Full Charge” Sehingga 450km Pada Harga RM118,800

Varian Premium Plus turut dilengkapi dengan kerusi lebih selesa, sistem audio Flyme 16 serta paparan kepala (head-up-display).

In Brief
  • Proton e.MAS 7 Premium Plus kini ditawarkan pada harga RM118,800 dengan bateri 68.39 kWh dan jarak sehingga 450km.
  • Varian baharu ini dilengkapi ciri eksklusif seperti tempat duduk urutan, head-up display, dan sistem audio Flyme 16 pembesar suara.

Jangan lupa follow channel  VoxPopbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Proton Holdings Bhd (PROTON) telah melancarkan varian baharu kenderaan elektrik (EV), Proton e.MAS 7 Premium Plus dengan harga atas jalan RM118,800 semalam (Jun 11).

Model itu dikatakan mengambil asas daripada kembarnya di luar negara Geely EX5, terutama dari segi bateri yang lebih besar dan jarak pemanduan lebih jauh.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, pengenalan varian baharu itu mencerminkan komitmen PROTON dalam memperluaskan akses rakyat Malaysia kepada EV lebih praktikal dan selesa.

Kini e.MAS 7 Mempunyai Tiga Varian Dihasilkan Di Tanjong Malim, Perak

Varian e.MAS 7. (Foto: Amanz)

Varian Premium Plus kini menjadi varian paling tinggi yang dipasang sepenuhnya (CKD) di kilang EV khusus Proton di Tanjong Malim.

Harga pelancaran ketiga-tiga varian adalah seperti berikut:

#1. e.MAS 7 Premium Plus (RM118,800) — bateri 68.39 kWh, jarak sehingga 450 kilometer.

#2. e.MAS 7 Premium (RM112,800) — bateri 60.22 kWh, jarak sehingga 410 kilometer.

#3. e.MAS 7 Prime (RM96,800) — bateri 49.52 kWh, jarak sehingga 345 kilometer.

Kapasiti Bateri Lebih Besar Dapat Beri Jarak Sehingga 450km
Bateri lebih besar & ciri baru yang menarik. (Foto: Paul Tan)

Untuk pengetahuan umum, varian Premium Plus dilengkapi dengan bateri AEGIS Short Blade berkapasiti 68.39 kilowatt-jam (kWh) yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 450 kilometer (km) mengikut piawaian Worldwide Harmonised Light Vehicle Test Procedure (WLTP), apabila dipasangkan roda 19 inci dengan tayar 235/50R19.

Jarak itu meningkat 40 kilometer berbanding varian Premium yang menggunakan bateri 60.22 kWh dengan jarak 410 kilometer.

“Peningkatan jarak pemanduan ini membantu mengurangkan kebimbangan pengguna terhadap keupayaan perjalanan EV, selain memberikan fleksibiliti lebih tinggi untuk perjalanan antara bandar,” kata Zhang.

Dari segi pengecasan, model itu mengekalkan keupayaan pengecasan pantas arus terus (DC) sehingga 115kW, membolehkan pengecasan daripada 30 peratus kepada 80 peratus dalam kira-kira 20 minit.

Pengecasan arus ulang-alik (AC) pula kekal pada 11kW, mengambil masa 6.7 jam untuk pengecasan 10 hingga 100 peratus.

0 hingga 100 km/j Dalam 7.4 Saat & Dilengkapi Pelbagai Fungsi Menarik
Ruang kabin varian Premium Plus. (Foto: Paul Tan)

Dari segi prestasi, e.MAS 7 mengekalkan motor hadapan berkuasa 218 PS dengan tork 320 Nm.

Namun, bateri yang lebih besar memberi kesan kepada pecutan varian Premium Plus kerana ia telah mencatat pecutan 0 hingga 100 km/j dalam 7.4 saat, sedikit perlahan berbanding varian Premium (7.1 saat) dan Prime (6.9 saat).

Model ini juga lebih berat pada 1,815 kilogram, iaitu 50 kilogram lebih berat daripada varian Premium dengan berat 1,765 kilogram.

Tambahan pula, antara kelengkapan baharu pada varian Premium Plus ialah penyandar kaki untuk tempat duduk penumpang hadapan dan mempunyai fungsi urutan pada tempat duduk pemandu serta penumpang hadapan.

Ia turut dilengkapi fungsi memori untuk melaraskan tempat duduk penumpang hadapan, cermin pandang belakang anti-silau automatik, sistem audio Flyme 16 pembesar suara dengan pembesar suara pada penyandar kepala, serta paparan kepala (head-up display) pada cermin hadapan.

Menurut Zhang, gabungan jarak 450km dan ciri tempat duduk urutan menjadikan varian Premium Plus antara model pertama dalam segmennya yang menawarkan kombinasi sedemikian.

Ciri Keselamatan Tidak Dilupakan

Dari aspek keselamatan, varian Premium Plus menawarkan bantuan mengelak rintangan, bantuan tukar lorong aktif serta amaran rentas lalu lintas hadapan.

Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapi dengan sistem ADAS, smart cruise control, brek kecemasan automatik (AEB), bantuan mengekal lorong kecemasan, amaran keselamatan tukar lorong dan pengecaman papan tanda jalan.

Pada waktu sama, PROTON turut mempamerkan lima teknologi utama yang menjadi tunjang ekosistem e.MAS, iaitu Global Modular Architecture (GMA), teknologi Cell-to-Body (CTB), bateri AEGIS Short Blade, Sistem Pacuan Elektrik 11-dalam-1 serta Dedicated Hybrid Powertrain.

Ada 6 Warna Untuk Diplih Termasuk Waranti Enam Tahun Tanpa Had Jarak
Proton e.MAS 7 varian Premium Plus. (Foto: Paul Tan)

Proton e.MAS 7 2026 ditawarkan dalam enam warna luaran, iaitu Lithium White, Turquoise Green, Slate Grey, Platinum Silver, Quartz Rose dan Obsidian Black.

Selain itu, untuk ruang kabin pula pelanggan boleh pilih dua warna iaitu Indigo Blue dan Alabaster White.

Namun Alabaster White hanya untuk varian Premium dan Premium Plus sahaja dipadankan dengan Turquoise Green dan Quartz Rose.

Setiap pembelian turut disertakan tawaran pelancaran merangkumi rebat tukar beli RM5,000, pengecas rumah 7kW percuma bernilai RM1,500, penyesuai Vehicle-to-Load (V2L) bernilai RM500, pelan data tanpa had selama lima tahun dan dilindungi waranti enam tahun tanpa had jarak.

Sehingga kini, PROTON memaklumkan lebih 23,600 kenderaan Proton e.MAS berada di jalan raya seluruh negara.

Baca Artikel Berkaitan: Proton e.MAS Catat Dominasi Dalam Pasaran EV Malaysia | VoxPop

Baca Artikel Berkaitan: Kemalangan Proton X50: 6 Sekeluarga Maut Ketika Dalam Perjalanan Ke Kubur Arwah Bapa | VoxPop


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial VoxPopbm , , Threads dan . 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 VoxPop. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd